Sunday, March 15, 2009

Persamaan @ Perbezaan

Secara am, UMNO dan PAS adalah 2 buah Parti Politik yang mana ahlinya adalah orang Melayu dan beragama Islam. Kedua-dua parti politik ini mempunyai dasar perjuangan yang berbeza. Satu lebih mirip kepada memperjuangkan bangsa ( begitulah mengikut pandangan sesetengah orang) dan satu lagi lebih mirip kepada memperjuangkan agama Islam (begitulah juga mengikut sesetengah pandangan orang). Kedua-duanya mempunyai agenda, falsafah, ideologi dan perjuangan masing-masing. Kedua-duanya berlumba-lumba untukmenegakkan panji mereka di mercu "kota impian" kerana begitulah perjuangan. Semua orang menganggap diri mereka benar di dalam peperangan dan/atau perjuangan. Perjuangan di dalam mencapai maksud falsafah dan agenda mereka.

Namun di dalam mengejar dan berlumba-lumba untuk menegakkan panji mereka di "kota impian" tersebut dan di dalam memperjuangkan agenda, falsafah dan objektif (yang berbeza tersebut), mereka telah terlupa akan satu perkataan iaitu PERSAMAAN.

Sekiranya diajukan soalan akan apakah perbezaan diantara UMNO dan PAS, jawapan yang pasti adalah, perbezaan yang ketara hanyalah melibatkan dasar dan objektif serta falsafah perjuangan mereka. Apabila diajukan soalan apakah ada kemungkinan untuk UMNO dan PAS duduk semeja tanpa ada perasaan syak ataupun apakah ada ruang untuk kedua-dua parti tersebut bersatu sebagai satu parti baru, sesetengah orang menyatakan ianya adalah mustahil. Ditanyakan lagi kenapa mustahil? Jawapannya kerana perjuangan mereka adalah berbeza. Jika ditanya lagi, apakah keduanya tidak mempunyai persamaan agar dapat dirobohkan tembok falsafah yang memisahkan mereka?


Sekiranya jawapan mereka tidak, maka sesungguhnya mereka telah terlupa.

Apakah mereka telah terlupa akan persamaan yang sebenarnya wujud dikalangan mereka. Kalau sekiranya mereka masih tidak sedar atau telah terlupa maka soalan ini harus diajukan. Siapakah Tuhan mereka? Siapakah Nabi mereka? Apakah panduan hidup mereka? Di manakah kiblat mereka? dan siapakah saudara mereka?

Maka jawapannya, bukankah UMNO & PAS (ahli-ahli) mempunyai Tuhan yang sama iaitu ALLAH s.w.t yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Bukankah UMNO & PAS itu berkongsi Nabi yang sama iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Bukankah ahli-ahli UMNO dan PAS itu mempunyai kitab Al Quran yang sama sebagai panduan. Bukankah ahli-ahli UMNO dan PAS sujud ke arah kiblat yang sama dan yang paling penting bukankah ahli-ahli UMNO dan PAS (yang beragama Islam) itu bersaudara. Saudara se Islam. Saudara di dalam agama. APAKAH MEREKA TELAH TERLUPA DENGAN PERSAMAAN INI.


Adalah amat memeranjatkan ada segelintir ahli-ahli dari salah satu parti yang dinyatakan di atas melaungkan dan mendoakan kehancuran saudara se Islam mereka dari parti yang lain demi kerana semangat partisan. Mereka sanggup pula mencanangkan keseluruh negara dan melaungkan kehancuran saudara se Islam mereka demi kerana perbezaan ideologi, falsafah dan matlamat. Apakah mereka tidak sedar yang mereka itu semua bersaudara dan tidakkah mereka sedar yang mereka mendoakan kehancuran saudara mereka sendiri. Dan apa yang lebih memeranjatkan apabila ada dikalangan mereka boleh duduk sambil tersenyum dan bergelak ketawa sambil memegang erat tangan orang yang BUKAN SAUDARA mereka untuk berbincang bagaimana boleh menjatuhkan saudara mereka sendiri. PELIK, tapi itulah yang berlaku.

Persoalannya, mengapa mereka sanggup berjuang dengan hanya melihat kepada perbezaan dan sanggup membina tembok bagi memisahkan tali ukhwah akibat perbezaan parti, fahaman dan matlamat yang dicipta oleh mereka sendiri. Tidakkah mereka sedar dan/atau tidak endah dan/atau tidak tahu dan/atau terlupa akan PERSAMAAN hakiki yang wujud diantara mereka. Mengapa mereka hanya melihat akan perbezaan yang kecil di dalam berjuang sehingga meninggalkan PERSAMAAN yang banyak dan yang wujud diantara mereka sejak azali lagi. Tidakkkah mereka tahu ataupun telah terlupa akan Hadis Nabi Muhammad s.a.w yang menyuruh umatnya untuk menyebarkan salam, menjamu makan dan sembahyang malam. Tidakkah mereka tahu akan hikmah disebalik pesanan tersebut.

Dari pandangan saya yang tidaklah begitu arif dari sudut agama, berpandangan, hikmah dari pesanan tersebut adalah untuk merapatkan ukhwah sesama Islam kerana bukankah menyebarkan salam dan menjamu makanan itu dapat dan boleh merapatkan ukhwah. Jadi mengapa wujud ada situasi di mana tidak mahu bersalam kerana terdapat perbezaan parti politik. Tidak mahu ke masjid yang diimamkan oleh imam yang menyokong sesuatu parti politik. Tidak mahu menziarahi ke rumah rakan ataupun saudara kerana bercanggah fahaman dan ideologi parti politik. Bukankah ini amat pelik dan kelakar jika difikirkan. Mungkin ada yang tidak percaya akan situasi ini tapi percayalah yang keadaan ini sememangnya benar-benar wujud di dalam dunia politik orang melayu yang beragama Islam di sini. Macam gaduh budak-budak.

Kita hanya mempunyai dua pilihan. Pertama, bangkit sebagai satu (bersatu) dan yang kedua adalah selamanya hidup di bawah telunjuk pencatur. Adakah nasib kita, agama kita, bangsa kita, waris-waris kita hendak dicaturkan dan/atau diaturkan oleh orang lain. Adakah kita sanggup melihat agama kita dan bangsa kita diperlekehkan. Untuk melihat agama dan bangsa kita diperlekehkan, kita tidak perlu untuk tunggu tahun 2020. Sekarang ini pun kita boleh tengok. Bukalah mata dan hati mu wahai saudara-saudara ku. Bagaimana urusan berkenaan dengan hukum-hakam agama Islam dipersoalkan akan keadilannya oleh orang kafir. Bagaimana perihal berkenaan dengan orang Islam dipersendakan oleh orang kafir. Mengapa mereka begitu berani berbuat demikian. Jawapannya sangatlah mudah iaitu kerana kita terlalu sibuk memikirkan tentang perbezaan sehingga kita telah terlupa akan PERSAMAAN yang wujud diantara kita. Kita mungkin tewas di dalam berjuang tetapi kita harus tewas dengan melawan dan andai kita tewas, kita tersungkur sebagai terhormat. Adakah kita hanya mahu berdentum guruh dilangit tetapi hujan tidak turun. Kita sepatutnya lebih seperti berdentum guruh dilangit, perahu sudah disediakan, dan hanya menanti hujan turun.

Maka, persiapkanlah kekuda mu dan rapatkanlah bahu-bahu mu,

bangkitlah di bawah satu laungan yang sama

bernafaslah dan berhembuslah di bawah panji yang sama

berdirilah dan jatuhkan tongkat didagu mu

ke hadapanlah meskipun hanya tinggal setitik darah mu

kerana

biar rebah ketika mara dari mati di singgahsana.











Saturday, March 14, 2009

Berjaya @ Berjuang

Kejayaan dan kemenangan adalah dua perkataan yang berbeza kata dasarnya tetapi kedua-dua perkataan ini membawa maksud dan kesan yang hampir sama. Melihat kepada kejayaan dan kemenangan kesannya adalah kegembiraan. Kejayaan dan kemenangan adalah menjadi objektif bagi setiap orang yang hidup di dunia ini. Persoalannya di sini apakah kejayaan dan kemenangan yang hendak kita kecapi dan bagaimanakah caranya kejayaan dan/atau kemenangan itu hendak ditempa. Pelbagai cara digunakan bagi mendapatkan kejayaan dan/atau kemenangan sehingga kadang-kadang terpaksa menggunakan cara yang terkeluar dari norma serta batas tatasusila. Ada juga sehingga terpaksa mencaci dan ada juga sanggup menjatuhkan martabat agama dan bangsa sendiri di atas nama kejayaan dan/atau kemenangan. Ada juga yang sanggup mempertaruhkan agama bagi tujuan tersebut sehinggakan pelbagai interpretasi dan juga huraian diekstrakkan dari sesetengah ayat-ayat suci Al Quran bagi tujuan mencapai kejayaan dan/atau kemenangan.
Apakah yang menjadikan seseorang itu berhak melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kejayaan dan/atau kemenangan tersebut?
Dan, apakah masalah yang sebenarnya dihadapi oleh mereka yang mencari kejayaan dan/atau kemenangan ini? Apakah mereka akan merasa gembira dengan kejayaan yang ditempa dengan menggunakan cara-cara tersebut?
Pada pandangan saya, masalah sebenarnya adalah kejayaan itu diletakkan sebagai satu objektif dan tunjang bagi sesuatu tujuan. Masalahnya juga adalah meletakkan kejayaan itu sebagai satu keputusan yang harus dikecapi bagi sesuatu rancangan.
Apabila meletakkan kejayaan dan/atau kemenangan sebagai sesuatu objektif, maka, seseorang individu itu akan menghalalkan apa jua cara untuk mendapatkan kejayaan dan/atau kemenangan itu meskipun terpaksa mengorbankan maruah agama dan bangsa sendiri.
Apakah mereka terlupa dengan perkataan BERJUANG/PERJUANGAN. Perjuangan adalah objektif yang harus kepada sesiapa sahaja yang mempunyai rancangan ataupun tujuan. Perjuangan juga yang bakal meletakkan sesuatu kejayaan dan/atau kemenangan itu sebagai terhormat. Oleh itu, haruslah pada waktu ini, padamkanlah perkataan kejayaan dan/atau kemenangan sebagai satu objektif hidup terutama bagi memartabatkan serta mempertahankan agama dan bangsa. Padamkanlah perkataan kejayaan dan/atau kemenangan dari hati kerana ia bakal menjadikan kita sebagai bangsa yang hilang kehormatannya. Maka bermula dari hari ini, gantikanlah perkataan kejayaan dan/atau kemenangan kepada BERJUANG/PERJUANGAN sekiranya kita masih ada maruah kerana MATLAMAT ITU TIDAK MENGHALALKAN CARA.
Wahai orang-orang yang ingin berjuang
Bangkitlah dari keselesaan mu
Alang-alang berjalan biar hingga rebah
kalau hari ini bukan hari kita
kalau hari semalam bukan hari kita
kalau hari kelmarin bukan hari kita
Maka, pastikan esok hari kita
Hari di mana hujan tidak dapat memperlahankan kita
Hari di mana guruh tidak akan menggetarkan kita
Hari di mana Perjuangan itu milik kita