Kejayaan dan kemenangan adalah dua perkataan yang berbeza kata dasarnya tetapi kedua-dua perkataan ini membawa maksud dan kesan yang hampir sama. Melihat kepada kejayaan dan kemenangan kesannya adalah kegembiraan. Kejayaan dan kemenangan adalah menjadi objektif bagi setiap orang yang hidup di dunia ini. Persoalannya di sini apakah kejayaan dan kemenangan yang hendak kita kecapi dan bagaimanakah caranya kejayaan dan/atau kemenangan itu hendak ditempa. Pelbagai cara digunakan bagi mendapatkan kejayaan dan/atau kemenangan sehingga kadang-kadang terpaksa menggunakan cara yang terkeluar dari norma serta batas tatasusila. Ada juga sehingga terpaksa mencaci dan ada juga sanggup menjatuhkan martabat agama dan bangsa sendiri di atas nama kejayaan dan/atau kemenangan. Ada juga yang sanggup mempertaruhkan agama bagi tujuan tersebut sehinggakan pelbagai interpretasi dan juga huraian diekstrakkan dari sesetengah ayat-ayat suci Al Quran bagi tujuan mencapai kejayaan dan/atau kemenangan.
Apakah yang menjadikan seseorang itu berhak melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kejayaan dan/atau kemenangan tersebut?
Dan, apakah masalah yang sebenarnya dihadapi oleh mereka yang mencari kejayaan dan/atau kemenangan ini? Apakah mereka akan merasa gembira dengan kejayaan yang ditempa dengan menggunakan cara-cara tersebut?
Pada pandangan saya, masalah sebenarnya adalah kejayaan itu diletakkan sebagai satu objektif dan tunjang bagi sesuatu tujuan. Masalahnya juga adalah meletakkan kejayaan itu sebagai satu keputusan yang harus dikecapi bagi sesuatu rancangan.
Apabila meletakkan kejayaan dan/atau kemenangan sebagai sesuatu objektif, maka, seseorang individu itu akan menghalalkan apa jua cara untuk mendapatkan kejayaan dan/atau kemenangan itu meskipun terpaksa mengorbankan maruah agama dan bangsa sendiri.
Apakah mereka terlupa dengan perkataan BERJUANG/PERJUANGAN. Perjuangan adalah objektif yang harus kepada sesiapa sahaja yang mempunyai rancangan ataupun tujuan. Perjuangan juga yang bakal meletakkan sesuatu kejayaan dan/atau kemenangan itu sebagai terhormat. Oleh itu, haruslah pada waktu ini, padamkanlah perkataan kejayaan dan/atau kemenangan sebagai satu objektif hidup terutama bagi memartabatkan serta mempertahankan agama dan bangsa. Padamkanlah perkataan kejayaan dan/atau kemenangan dari hati kerana ia bakal menjadikan kita sebagai bangsa yang hilang kehormatannya. Maka bermula dari hari ini, gantikanlah perkataan kejayaan dan/atau kemenangan kepada BERJUANG/PERJUANGAN sekiranya kita masih ada maruah kerana MATLAMAT ITU TIDAK MENGHALALKAN CARA.
Wahai orang-orang yang ingin berjuang
Bangkitlah dari keselesaan mu
Alang-alang berjalan biar hingga rebah
kalau hari ini bukan hari kita
kalau hari semalam bukan hari kita
kalau hari kelmarin bukan hari kita
Maka, pastikan esok hari kita
Hari di mana hujan tidak dapat memperlahankan kita
Hari di mana guruh tidak akan menggetarkan kita
Hari di mana Perjuangan itu milik kita