Friday, January 21, 2011

Kepada Pemimpin-Pemimpin PAS & UMNO

Salam...

Dah lama rasanya tak menulis dalam blog ni. Agak sebok kebelakangan ini. Hari ni ada rasa nak menulis. Dah lama juga rasanya nak menulis. Nak keluarkan apa yang terbuku di dalam hati. Nak bercakap takda tempat nak bercakap. Nak masuk politik tak reti. Jadi kat sini sahaja tempat aku nak luahkan apa yang dah lama terpendam di dalam hati.

Hari ni aku tengok (melalui pemerhatian aku lah) orang Islam di Malaysia semakin hari semakin lupa. Lupa segala perkara yang sepatutnya mereka lakukan sebagai orang Islam. Paling teruk sekali adalah Sembahyang dan/atau solat. Sekarang ni ramai sangat orang yang meninggalkan solat. Ada yang solat Jumaat sahaja tapi solat 5 waktu lebur...Ada yang solat 2 waktu, 3 waktu dan ada jugak yang langsung tak solat.

Bukankah solat itu tiang agama. Malas la nak cakap panjang pasal solat. Cakap panjang sangat karang orang menyampah pulak. Tapi tak cakap tak buat. Tak sedar.

Jadi untuk buat ketika ini aku sebagai seorang lelaki Melayu yang beragama Islam nak mengingatkan semua pemimpin yang beragama Islam terutamanya pemimpin-pemimpin PAS dan UMNO (kerana kedua-dua parti politik ini dianggotai oleh Orang Melayu beragama Islam) tolonglah satu perkara ini. Kalau nak berpolitik tu politik la cara Islam dan yang paling penting tolonglah ingatkan ahli keluarga sendiri dan ahli-ahli parti masing untuk solat. Solat bukan sekadar solat 5 waktu sahaja. Tolonglah buat klinik solat untuk memantapkan solat masing-masing.

Ingat..nak politik pun politik lah tapi kalau tiang tak kuat adakah rumah boleh kukuh...

(Peringatan ini ditujukan khas kepada diri sendiri)

Salam....

Saturday, July 17, 2010

Politik Melayu

Salam.

Di Malaysia orang melayu adalah bangsa majoriti.
Dalam Perlembagaan ada disebutkan berkenaan dengan Hak Istimewa Orang Melayu.
Perdana Menteri Orang Melayu. TPM orang Melayu.
Persoalannya....Kenapa orang melayu semakin lama semakin meLAYU.
Dalam bidang pendidikan di mana budak Melayu.. Dalam perniagaan di mana orang Melayu..
Di dalam politik..di mana suara orang melayu..
Melayu di Malaysia telah berpecah belah disebabkan oleh parti sehingga mereka
terlupa apa yang sepatutnya mereka perjuangkan.

Saya terfikir lagi apakah perjuangan mereka ini tidak ada titik persamaan sehinggakan Melayu-melayu ini seringkali bertelagah dan bercakar sesama Melayu..Sedar tak mereka yang mereka ini adalah orang Melayu yang beragama Islam. Bukankah itu adalah persamaan yang paling ketara sekali. Apakah mereka tidak pernah terfikir untuk duduk dan berbincang dengan baik bagaimana untuk mempastikan yang orang Melayu dapat dimajukan dan seterusnya tidak semakin hari semakin ketinggalan. Tidakkah mereka sedar yang mereka perlu berbincang untuk mempastikan yang Islam harus diperjuangkan, dimertabatkan dan ditegakkan di Malaysia ini.

Tidakkah mereka sedar yang mereka sepatutnya bersama-sama untuk mempastikan perkara yang disebutkan adalah tanggungjawab mereka bersama.

Tidakkah mereka sedar, untuk melaksanakan apa yang dinyatakan di atas mereka harus BERSATU. Bersatu tidak semestinya mereka semua harus membubarkan parti dan bergabung di bawah satu parti tapi apa yang penting adalah mereka semua harus BERSATU HATI di dalam mempastikan Islam dan hak-hak Melayu dapat diperjuangkan, dipelihara dan dimertabatkan.

Sepatutnya, bila ada sesuatu isu berkenaan dengan Islam dan hak-hak orang Melayu maka semua orang melayu harus bangkit dan memperjuangkan dan mempertahankannya. Bukan hanya satu pihak sahaja dan satu pihak lagi sebok cari salah dan membantai.

Kalaulah orang Melayu asyik berpolitik sehingga terlupa apa yang sepatutnya mereka perjuangkan saya rasa orang Melayu akan terus meLAYU..

Apa guna kalau Melayu takkan hilang di dunia tetapi hidup tidak bermaruah....

Monday, April 27, 2009

ALLAH

Saya masih tak faham-faham apakah sebenarnya masalah dengan suratkhabar Catholic Herald yang masih lagi bersungguh-sungguh untuk menggunakan perkataan Allah di dalam Bible dan di dalam penerbitan mereka. Mereka juga sibuk dan tak sudah-sudah untuk menyatakan bahawa Allah itu berasal dari bahasa Melayu dan di atas alasan tersebut mereka menyatakan bahawa mereka berhak menggunakannya di dalam Bible dan penerbitan mereka. Mereka juga menyatakan bahawa di Indonesia dan di Timur Tengah menggunakan perkataan Allah di dalam Bible penganut Kristian mereka. Mereka juga menyatakan bahawa perkataan Allah adalah tidak boleh dimonopoli oleh orang Islam.

Bagi saya, kalau adalah orang kafir yang bertanyakan kepada saya mengapa Allah tidak boleh digunakan di dalam Bible atau agama lain maka jawapan saya adalah:-

1. PERKATAAN ALLAH BUKANLAH DARI BAHASA MELAYU
Perkataan Allah adalah berasal daripada bahasa Arab. Bagi orang kafir yang tak tahu, di dalam ayat Al Kursi dengan jelas menyatakan bahawa (terjemahannya) Surah Al Baqarah Ayat 255,

"Allah, tiada Tuhan (yang berhak) melainkan Dia"

Bagi orang kafir yang masih lagi menyatakan bahawa perkataan Allah itu berasal dari bahasa Melayu maka janganlah buat-buat sombong dan pergilah ke mana-mana kedai buku dan carilah terjemahan Al quran dan bukalah Ayat 255 surah Al Baqarah. Di dalam ayat ini kamu semua boleh melihat huruf ALIF LAM LAM HA dan sambungan kepada huruf-huruf itu berbunyi Allah. Dan ini membuktikan bahawa Allah bukanlah berasal dari bahasa Melayu.

2. ALLAH ITU ESA.
Di dalam Al Quran Surah Al Ikhlaas (surah ke 112 Ayat 1) menyatakan dengan jelas (terjemahannya);

"Katakanlah (wahai Muhammad) (Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa"

Di dalam ayat tersebut, menyatakan bahawa Allah itu adalah Esa iaitu SATU. Ini adalah salah satu sifat Allah.

Seterusnya di dalam surah yang sama ayat 3, Allah berfirman (terjemahannya)

"Ia tidak beranak , dan ia pula tidak diperanakkan"

Ayat ini pula menjelaskan bahawa Allah itu tidak mempunyai anak dan tidak pula mempunyai ibu bapa (tidak diperanakkan). Surah ini menunjukkan sifat KeEsaan Allah yang mana ia berbeza dengan agama Kristian (tanpa mempertikaikan kepercayaan Agama Kristian) yang menyatakan bahawa Isa itu anak Allah s.w.t

Berdasarkan kepada 2 hujah ini maka saya berpandangan bahawa, Allah itu tidak sesuai digunakan di dalam Bible ataupun penerbitan Catholic Herald kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan.

Sebelum ini pun, Malaysia tidak pernah menyekat akan kebebasan beragama penganut Kristian maka mengapa isu ini harus diperbesarkan dan disensasikan. Maka, niat untuk mensensasikan isu ini bolehlah dipersoalkan akan niatnya.

Saturday, April 18, 2009

Melayu Vs PERKAUMAN

Sejak kebelakangan ini terlalu banyak isu berkenaan bangsa dibincangkan samada oleh politikus mahupun orang awam. Perbincangan tersebut pula dilakukan secara terbuka dengan langsung tidak mengambil kira tentang sensitiviti bangsa lain. Orang bukan Melayu boleh dengan sewenang-wenangnya, secara terbuka berbincang mengenai akan hak istimewa orang Melayu, isu berkenaan dengan agama Islam dan pelbagai lagi isu berkenaan dengan orang Melayu dan agama Islam. Dan apabila mereka berbincang mengenai isu berkenaan, mereka diangkat sebagai seorang yang memperjuangkan keadilan dan juga kebebasan. Semua orang boleh menyatakan apa sahaja yang mereka mahu dengan menyatakan bahawa mereka mempunyai hak menyatakan semua perkara tersebut dengan bertunjangkan kepada Perlembagaan Persekutuan yang memberikan mereka hak kebebasan bersuara. Apabila mereka ditahan oleh pihak yang berkuasa, mereka akan dianggap sebagai 'HERO' kerana kelantangan dan keberanian mereka.

Tetapi, orang Melayu yang hanya berbincang mengenai hak orang Melayu , yang hanya berbincang untuk mempertahankan hak orang Melayu , yang hanya berbincang untuk memartabatkan dan mempertahankan agama Islam (dengan tidak menyentuh akan perihal dan hak bangsa lain apatah lagi mencuit perihal agama lain) orang Melayu tersebut dianggap sebagai pencetus kepada bersifat perkauman.

Perkataan PERKAUMAN di Malaysia pada hari ini bolehlah didefinisikan sebagai:-

1) Apabila orang Melayu berbincang mengenai hak orang Melayu dan/atau
2) Apabila orang Melayu berbincang mengenai mempertahankan hak orang Melayu dan/atau
3) Apabila orang Melayu berbincang mengenai Agama Islam

Semua yang orang Melayu katakan (mengenai hak orang Melayu dan Islam) bakal dilabelkan sebagai bersifat perkauman. Tetapi bagi bangsa lain yang berbincang mengenai hak istimewa orang Melayu dan ada juga yang terlalu kurang ajar dan biadap berbincang mengenai agama Islam mereka dianggap sebagai orang yang ingin mencipta keadilan.

Sebab apa semua ini boleh berlaku? Jawapannya, orang Melayu sekarang ramai yang sudah berpendidikan tinggi tetapi tidak ramai yang berilmu.

Saturday, March 28, 2009

KELIRU???

Melihat kepada persidangan UMNO yang berlangsung untuk beberapa hari kebelakangan ini menjadikan saya tertanya-tanya apakah sebenarnya perubahan yang hendak mereka laksanakan dan jayakan. Kalau sekiranya Akademi Fantasia menyatakan yang rancangan tersebut ada transformasi akan berlaku, saya masih dan akan menunggu untuk melihat perubahan dan transformasi yang bakal dilakukan oleh DS Najib dan 'askar-askar'nya bagi mendapatkan kembali maruah dan kepercayaan masyarakat kepada UMNO.
Adalah seorang ahli UMNO yang diwawancara menyatakan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang memartabatkan bangsa Melayu, UMNO lah yang menjadi tunjang kepada kejayaan kepada banyak orang-orang Melayu yang berjaya sekarang dan banyak lagi jasa-jasa UMNO yang tidak boleh dinafikan. Pada pandangan saya memang benar dan tidak dapat dinafikan akan jasa-jasa UMNO yang dahulu. Salah juga sekiranya jasa-jasa dahulu dilupakan begitu sahaja.
Tapi persoalannya sekarang kenapa orang-orang UMNO apabila berbincang berkenaan dengan UMNO akan melihat kepada sejarah sahaja dan terlupa akan keadaan orang Melayu pada masa sekarang. Ada juga salah seorang ahli UMNO ni yang turut juga diwawancara menyatakan bahawa beliau ada mengenali ahli UMNO yang sanggup berjuang bermatian-matian demi rakyat sehingga mengorbankan hartanya hanya untuk memperjuangkan UMNO dan rakyat. Tapi yang peliknya, mengapa orang begitu tidak diangkat keperingkat yang tinggi dalam UMNO?
Peli bukan?
Saya cuba fikir. Tapi sehingga sekarang saya belum dapat jawapannya. Kenapa orang yang sanggup berjuang begitu duduknya di bawah dan bukan di atas.

Sunday, March 15, 2009

Persamaan @ Perbezaan

Secara am, UMNO dan PAS adalah 2 buah Parti Politik yang mana ahlinya adalah orang Melayu dan beragama Islam. Kedua-dua parti politik ini mempunyai dasar perjuangan yang berbeza. Satu lebih mirip kepada memperjuangkan bangsa ( begitulah mengikut pandangan sesetengah orang) dan satu lagi lebih mirip kepada memperjuangkan agama Islam (begitulah juga mengikut sesetengah pandangan orang). Kedua-duanya mempunyai agenda, falsafah, ideologi dan perjuangan masing-masing. Kedua-duanya berlumba-lumba untukmenegakkan panji mereka di mercu "kota impian" kerana begitulah perjuangan. Semua orang menganggap diri mereka benar di dalam peperangan dan/atau perjuangan. Perjuangan di dalam mencapai maksud falsafah dan agenda mereka.

Namun di dalam mengejar dan berlumba-lumba untuk menegakkan panji mereka di "kota impian" tersebut dan di dalam memperjuangkan agenda, falsafah dan objektif (yang berbeza tersebut), mereka telah terlupa akan satu perkataan iaitu PERSAMAAN.

Sekiranya diajukan soalan akan apakah perbezaan diantara UMNO dan PAS, jawapan yang pasti adalah, perbezaan yang ketara hanyalah melibatkan dasar dan objektif serta falsafah perjuangan mereka. Apabila diajukan soalan apakah ada kemungkinan untuk UMNO dan PAS duduk semeja tanpa ada perasaan syak ataupun apakah ada ruang untuk kedua-dua parti tersebut bersatu sebagai satu parti baru, sesetengah orang menyatakan ianya adalah mustahil. Ditanyakan lagi kenapa mustahil? Jawapannya kerana perjuangan mereka adalah berbeza. Jika ditanya lagi, apakah keduanya tidak mempunyai persamaan agar dapat dirobohkan tembok falsafah yang memisahkan mereka?


Sekiranya jawapan mereka tidak, maka sesungguhnya mereka telah terlupa.

Apakah mereka telah terlupa akan persamaan yang sebenarnya wujud dikalangan mereka. Kalau sekiranya mereka masih tidak sedar atau telah terlupa maka soalan ini harus diajukan. Siapakah Tuhan mereka? Siapakah Nabi mereka? Apakah panduan hidup mereka? Di manakah kiblat mereka? dan siapakah saudara mereka?

Maka jawapannya, bukankah UMNO & PAS (ahli-ahli) mempunyai Tuhan yang sama iaitu ALLAH s.w.t yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Bukankah UMNO & PAS itu berkongsi Nabi yang sama iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Bukankah ahli-ahli UMNO dan PAS itu mempunyai kitab Al Quran yang sama sebagai panduan. Bukankah ahli-ahli UMNO dan PAS sujud ke arah kiblat yang sama dan yang paling penting bukankah ahli-ahli UMNO dan PAS (yang beragama Islam) itu bersaudara. Saudara se Islam. Saudara di dalam agama. APAKAH MEREKA TELAH TERLUPA DENGAN PERSAMAAN INI.


Adalah amat memeranjatkan ada segelintir ahli-ahli dari salah satu parti yang dinyatakan di atas melaungkan dan mendoakan kehancuran saudara se Islam mereka dari parti yang lain demi kerana semangat partisan. Mereka sanggup pula mencanangkan keseluruh negara dan melaungkan kehancuran saudara se Islam mereka demi kerana perbezaan ideologi, falsafah dan matlamat. Apakah mereka tidak sedar yang mereka itu semua bersaudara dan tidakkah mereka sedar yang mereka mendoakan kehancuran saudara mereka sendiri. Dan apa yang lebih memeranjatkan apabila ada dikalangan mereka boleh duduk sambil tersenyum dan bergelak ketawa sambil memegang erat tangan orang yang BUKAN SAUDARA mereka untuk berbincang bagaimana boleh menjatuhkan saudara mereka sendiri. PELIK, tapi itulah yang berlaku.

Persoalannya, mengapa mereka sanggup berjuang dengan hanya melihat kepada perbezaan dan sanggup membina tembok bagi memisahkan tali ukhwah akibat perbezaan parti, fahaman dan matlamat yang dicipta oleh mereka sendiri. Tidakkah mereka sedar dan/atau tidak endah dan/atau tidak tahu dan/atau terlupa akan PERSAMAAN hakiki yang wujud diantara mereka. Mengapa mereka hanya melihat akan perbezaan yang kecil di dalam berjuang sehingga meninggalkan PERSAMAAN yang banyak dan yang wujud diantara mereka sejak azali lagi. Tidakkkah mereka tahu ataupun telah terlupa akan Hadis Nabi Muhammad s.a.w yang menyuruh umatnya untuk menyebarkan salam, menjamu makan dan sembahyang malam. Tidakkah mereka tahu akan hikmah disebalik pesanan tersebut.

Dari pandangan saya yang tidaklah begitu arif dari sudut agama, berpandangan, hikmah dari pesanan tersebut adalah untuk merapatkan ukhwah sesama Islam kerana bukankah menyebarkan salam dan menjamu makanan itu dapat dan boleh merapatkan ukhwah. Jadi mengapa wujud ada situasi di mana tidak mahu bersalam kerana terdapat perbezaan parti politik. Tidak mahu ke masjid yang diimamkan oleh imam yang menyokong sesuatu parti politik. Tidak mahu menziarahi ke rumah rakan ataupun saudara kerana bercanggah fahaman dan ideologi parti politik. Bukankah ini amat pelik dan kelakar jika difikirkan. Mungkin ada yang tidak percaya akan situasi ini tapi percayalah yang keadaan ini sememangnya benar-benar wujud di dalam dunia politik orang melayu yang beragama Islam di sini. Macam gaduh budak-budak.

Kita hanya mempunyai dua pilihan. Pertama, bangkit sebagai satu (bersatu) dan yang kedua adalah selamanya hidup di bawah telunjuk pencatur. Adakah nasib kita, agama kita, bangsa kita, waris-waris kita hendak dicaturkan dan/atau diaturkan oleh orang lain. Adakah kita sanggup melihat agama kita dan bangsa kita diperlekehkan. Untuk melihat agama dan bangsa kita diperlekehkan, kita tidak perlu untuk tunggu tahun 2020. Sekarang ini pun kita boleh tengok. Bukalah mata dan hati mu wahai saudara-saudara ku. Bagaimana urusan berkenaan dengan hukum-hakam agama Islam dipersoalkan akan keadilannya oleh orang kafir. Bagaimana perihal berkenaan dengan orang Islam dipersendakan oleh orang kafir. Mengapa mereka begitu berani berbuat demikian. Jawapannya sangatlah mudah iaitu kerana kita terlalu sibuk memikirkan tentang perbezaan sehingga kita telah terlupa akan PERSAMAAN yang wujud diantara kita. Kita mungkin tewas di dalam berjuang tetapi kita harus tewas dengan melawan dan andai kita tewas, kita tersungkur sebagai terhormat. Adakah kita hanya mahu berdentum guruh dilangit tetapi hujan tidak turun. Kita sepatutnya lebih seperti berdentum guruh dilangit, perahu sudah disediakan, dan hanya menanti hujan turun.

Maka, persiapkanlah kekuda mu dan rapatkanlah bahu-bahu mu,

bangkitlah di bawah satu laungan yang sama

bernafaslah dan berhembuslah di bawah panji yang sama

berdirilah dan jatuhkan tongkat didagu mu

ke hadapanlah meskipun hanya tinggal setitik darah mu

kerana

biar rebah ketika mara dari mati di singgahsana.











Saturday, March 14, 2009

Berjaya @ Berjuang

Kejayaan dan kemenangan adalah dua perkataan yang berbeza kata dasarnya tetapi kedua-dua perkataan ini membawa maksud dan kesan yang hampir sama. Melihat kepada kejayaan dan kemenangan kesannya adalah kegembiraan. Kejayaan dan kemenangan adalah menjadi objektif bagi setiap orang yang hidup di dunia ini. Persoalannya di sini apakah kejayaan dan kemenangan yang hendak kita kecapi dan bagaimanakah caranya kejayaan dan/atau kemenangan itu hendak ditempa. Pelbagai cara digunakan bagi mendapatkan kejayaan dan/atau kemenangan sehingga kadang-kadang terpaksa menggunakan cara yang terkeluar dari norma serta batas tatasusila. Ada juga sehingga terpaksa mencaci dan ada juga sanggup menjatuhkan martabat agama dan bangsa sendiri di atas nama kejayaan dan/atau kemenangan. Ada juga yang sanggup mempertaruhkan agama bagi tujuan tersebut sehinggakan pelbagai interpretasi dan juga huraian diekstrakkan dari sesetengah ayat-ayat suci Al Quran bagi tujuan mencapai kejayaan dan/atau kemenangan.
Apakah yang menjadikan seseorang itu berhak melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kejayaan dan/atau kemenangan tersebut?
Dan, apakah masalah yang sebenarnya dihadapi oleh mereka yang mencari kejayaan dan/atau kemenangan ini? Apakah mereka akan merasa gembira dengan kejayaan yang ditempa dengan menggunakan cara-cara tersebut?
Pada pandangan saya, masalah sebenarnya adalah kejayaan itu diletakkan sebagai satu objektif dan tunjang bagi sesuatu tujuan. Masalahnya juga adalah meletakkan kejayaan itu sebagai satu keputusan yang harus dikecapi bagi sesuatu rancangan.
Apabila meletakkan kejayaan dan/atau kemenangan sebagai sesuatu objektif, maka, seseorang individu itu akan menghalalkan apa jua cara untuk mendapatkan kejayaan dan/atau kemenangan itu meskipun terpaksa mengorbankan maruah agama dan bangsa sendiri.
Apakah mereka terlupa dengan perkataan BERJUANG/PERJUANGAN. Perjuangan adalah objektif yang harus kepada sesiapa sahaja yang mempunyai rancangan ataupun tujuan. Perjuangan juga yang bakal meletakkan sesuatu kejayaan dan/atau kemenangan itu sebagai terhormat. Oleh itu, haruslah pada waktu ini, padamkanlah perkataan kejayaan dan/atau kemenangan sebagai satu objektif hidup terutama bagi memartabatkan serta mempertahankan agama dan bangsa. Padamkanlah perkataan kejayaan dan/atau kemenangan dari hati kerana ia bakal menjadikan kita sebagai bangsa yang hilang kehormatannya. Maka bermula dari hari ini, gantikanlah perkataan kejayaan dan/atau kemenangan kepada BERJUANG/PERJUANGAN sekiranya kita masih ada maruah kerana MATLAMAT ITU TIDAK MENGHALALKAN CARA.
Wahai orang-orang yang ingin berjuang
Bangkitlah dari keselesaan mu
Alang-alang berjalan biar hingga rebah
kalau hari ini bukan hari kita
kalau hari semalam bukan hari kita
kalau hari kelmarin bukan hari kita
Maka, pastikan esok hari kita
Hari di mana hujan tidak dapat memperlahankan kita
Hari di mana guruh tidak akan menggetarkan kita
Hari di mana Perjuangan itu milik kita